Khalid bin al-Walid






Khalid bin al-Walid atau Khalid ibni al-Walid (1 Julai 592- 1 Oktober 642) (Bahasa Arab: خالد بن الوليد‎; Khālid ibn al-Walīd), nama sebenarnya Khalid bin al-Walid bin al-Mughirah; beliau juga dikenali sebagai Saifullah al-Maslul (bahasa Arab: بسيف الله المسلول bermaksudPedang Allah yang terhunus atau Pedang Allah), adalah antara panglima tentera Arab yang memainkan peranan penting dalam peperangan antara tentera Islam dengan tentera Byzantine dan tentera Parsi pada kurun ketujuh. Beliau terkenal dengan kebijaksanaan dalam peperangan dan mengepalai tentera Islam ketika zaman Nabi Muhammad SAW dan juga zaman khalifah-khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Umar Al-Khattab. Pencapaian terulung ialah dimana beliau berjaya mengalahkan pasukan Rom dan Parsi dalam masa tiga tahun sahaja.

Khalid bin al-Walid berbangsa Arab keturunan Quraisy yang pernah suatu ketika menentang Nabi Muhammad . Beliau merupakan seorang askar yang aktif ketika Perang Uhud menentang tentera Islam. Ketika tempoh damai berikutan pemeteraian Perjanjian Hudaibiyah, Khalid memeluk Islam dan memohon maaf kepada Nabi Muhammad atas tindakan beliau sebelum ini. Ketika zaman nabi Muhammad, beliau menyertai tentera Islam dalam Perang Mu'tah dan juga perang-perang lain. Selepas kewafatan Nabi, beliau dilantik penglima perang dan mengetuai ekspedisi menentang tentera Sasan Parsi dan juga tentera Empayar Byzantine (digelar "Rum" oleh orang Arab pada masa itu.





Kehidupan awal

Khalid dilahirkan c. 592 di Makkah, anak kepada Walid bin al-Mughira, ketua Bani Makhzum, sebuah suku daripada suku bangsa Quraisy. Bani Makhzum satu daripada tiga suku yang terunggul di Makkah pada masa itu – yang dua lain ialah Bani Hasyim dan Banu Abdul Dar (Bani Abd-al-dar). Beliau sepupu Saidina Umar. Bapanya terkenal di Makkah dengan gelaran Al-Waheed (Yang Satu). Bani Makhzum bertanggungjawab tentang perkara-perkara berkaitan dengan peperangan. Sejurus selepas kelahirannya, dan dengan mengikut resam orang Quraisy, Khalid dihantar untuk tinggal bersama suku kaum Badwi di kawasan gurun Arabia, dan disusukan oleh seorang ibu susu yang juga membesarkan kanak-kanak dalam suasana persekitaran udara padang pasir yang kering, nyaman dan bersih. Beliau pulang kepada ibu bapanya semasa berumur lima atau enam tahun. Semasa zaman kanak-kanak, Khalid diserang penyakit cacar; beliau pulih akan tetapi penyakit cacar itu meninggalkan parut pada pipi kirinya.

Khalid dan Umar, Khalifah kedua, sepupu dan wajah mereka mirip masing-masing. Mereka tinggi dan Khalid juga berbadan tegap dan berbahu lebar. Beliau berjanggut tebal. Beliau juga seorang juara gusti.

Sebagai seorang ahli Bani Makhzum, satu suku yang pakar dalam peperangan dan dikira antara penunggan kuda yang terbaik di Semenanjung Arab, pada zaman kanak-kanaknya, Khalid belajar menunggang kuda dan mengguna senjata seperti tombak, lembing,busur dan pedang. Dikatakan tombak menjadi senjata kesukaannya. Pada zaman remaja beliau disanjung sebagai seorang pahlawan dan ahli gusti oleh orang Quraisy.




Zaman Nabi Muhammad (SAW) (610–632 M)




Peta Perang Uhud, menunjukkan gerakan rusuk Khalid menentang tentera Muslim, suatu pergerakan yang membawa kejayaan bagi puak Quraisy Makkah.






Tidak banyak yang diketahui tentang Khalid sewaktu dakwah awal Nabi Muhammad (SAW), namun diketahui bahawa bapa Khalid, Walid al-Mughirah, memusuhi utusuan yang dibawa Nabi Muhammad dan diri baginda sendiri.

Berikutan Hijrah Nabi Muhammad, masyarakat orang Islam Madinah dan Quraisy Jahiliah Makkah bertempur buat beberapa kali. Khalid tidak mengambil bahagian dalam Perang Badar—pertempuran pertama antara Muslim Madinah dengan puak Quraisy Makkah—tetapi saudara lelakinya, Walid bin Walid tertangkap dan menjadi tawanan orang Islam. Khalid bersama-sama abangnya Hasham bin Walid pergi ke Madinah untuk membayar wang tebusan untuk Walid, tetapi dalam perjalanan pulang ke Makkah, Walid meloloskan dirinya daripada dua saudaranya dan pulang ke Nabi Muhammad di Madinah untuk memeluk Islam. Kepimpinan Khalid memainkan peranan penting dalam mengubah perjalanan pertempuran semasaPerang Uhud (625 M) dan hampir-hampir memastikan kemenangan Quraisy dalam pertempuran itu. Pada tahun 627 M beliau mengambil bahagian dalam Perang Ahzab (juga dikenali sebagai Perang Khandaq) menentang Muslim Madinah. Perang Ahzab merupakan kali terakhir Khalid menentang Islam.






Memeluk Islam
Sebuah perjanjian damai selama 10 tahun dimeterai orang Islam dan Quraisy Makkah dengan [Perjanjian Hudaibiyah]] pada tahun 628. Dicatatkan bahawa Nabi Muhammad memberitahu saudara Khalid, Walid bin Walid, bahawa: "Seorang lelaki seperti Khalid, tidak akan dapat menjauhkan dirinya daripada Islam buat masa yang lama". Walid mengirim surat kepada Khalid untuk memujuknya memeluk Islam. Khalid, yang sebenarnya tidak beberapa tertarik dengan berhala yang terdapat di Kaabah, membuat keputusan untuk memeluk Islam dan dikatakan telah berkongsi keputusannya dengan rakan zaman kanak-kanaknya, Ikrimah bin Abu Jahal. Ikrimah tidak bersetuju dengan keputusan yang diambil Khalid. Abu Sufyan bin Harbmengugut Khalid akan tetapi beliau ditahan Ikrimah yang dilaporkan telah berkata: "Bertenang ya Abu Sufyan! Kemarahan anda mungkin juga mendorong saya untuk menyertai Muhammad. Khalid bebas untuk memilih mana-mana agama yang dipilihnya."

Pada Mei 629 M, Khalid bergerak menuju ke Madinah. Dalam perjalanannya ke kota itu beliau bertemu Amr al-As dan Uthman bin Talha, yang juga dalam perjalanan ke Madinah untuk memeluk Islam. Mereka tiba di Madinah pada 31 Mei 629 dan pergi ke rumah Nabi Muhammad. Khalid disambut oleh abangnya Walid bin Walid dan merupakan orang yang pertama antara yang tiga untuk memeluk Islam.




Kempen Ketenteraan pada zaman Nabi Muhammad

Perang Mu'tah


Tiga bulan selepas ketibaan Khalid di Madinah, Nabi Muhammad menghantar seorang utusan kepada kerajaan Ghasan Syria, sebuah kerajaan ufti di bawah Empayar Byzantine, dengan sepucuk surat yang mempelawa raja Ghasan untuk memeluk Islam. Semasa melintasi Mu'tah, utusan ini dipintas dan dibunuh seorang ketua Ghasan tempatan yang bernama Syuhrabil bin Amr. Secara resamnya, utusan diplomatik terselamat daripada serangan dan berita tentang serangan ini menimbulkan kemarahan Madinah.

Sebuah ekspedisi ketenteraan ditubuhkan untuk menghukum pihak Ghasan. Rasulullah (SAW) melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima pasukan Muslim. Sekiranya Zaid gugur, tampuk pemerintahan akan diambil alih Ja'afar bin Abi Talib, dan sekiranya Ja'afar juga gugur, tentera Islam akan dipimpin Abdullah bin Rawahah. Dan sekiranya ketiga-tiga orang ini juga terbunuh, maka anggota ekspedisi ini harus memilih seorang daripada mereka sebagai ketua.

Kesemua yang dinamakan sebagai panglima itu gugur semasa pertempuran dan Khalid dipilih tentera Islam sebagai pengganti. Beliau berjaya memimpin angkatan ekspedisinya seramai 3,000 orang menentang ketumbukan besar Empayar Byzantine dan Ghasan seramai 200,000 orang dalam apa yang disebut pertempuran Mu'tah. Khalid mengambil alih tampuk pimpinan tentera Muslim pada saat yang genting, dan mengubah apa yang berkemungkinan menjadi penyembelihan orang Islam kepada satu pengunduran strategik dan berjaya menyelamatkan pasukan Muslim daripada kemusnahan total.

Khalid menghantar sebahagian pasukannya ke belakang ketumbukan utamanya pada waktu malam. Pada keesokan hari mereka diarah menyertai ketumbukan utama dalam kumpulan-kumpulan kecil, menimbulkan tanggapan bahawa pasukan Islam sedang diperkukuhkan dan sekaligus menurunkan semangat tentera musuh. Pada hari pertempuran, Khalid berjaya mengekalkan barisan depannya dan tentera Muslim berundur ke Arabia pada waktu malam hari pertempuran. Pasukan Byzantine tidak memburu tentera Muslim kerana mempercayai bahawa mereka akan diperangkap tentera Muslim. Dikatakan bahawa Khalid berjuang dengan berani pada Pertempuran Mu'tah dan telah mematahkan sembilan bilah pedang semasa bertempur. Beliau diberi gelaran Saifullah al-Maslul kerana berjaya menyelamatkan tenteranya daripada dimusnhakan musuh dan membawanya pulang agar dapat berjuang pada hari lain. Gelaran Saifullah (Pedang Allah) dikurniakan Nabi Mohammed, justeru Khalid sudah terkenal dengan gelaran ini lama sebelum pertempuran Mu'tah berlaku.





Kempen-kempen terkemudian

Rencana utama: Pembukaan Kota Mekah, Perang Hunain, Pengepungan Ta'if, dan Perang Tabuk

Setahun kemudian, pada tahun 630 M, tentera Islam mara dari Madinah menuju ke kota Makkah (juga dieja "Mekah"). Dalam gerakan membuka Makkah, Khalid menjadi panglima satu daripada empat pasukan tentera Muslim yang memasuki kota Makkah melalui jalan-jalan berbeza, dan menewaskan pasukan berkuda Quraisy. Kemudian pada tahun yang sama beliau terlibat dalamPertempuran Hunain dan Pengepungan Ta'if.

Khalid menyertai kempen Tabuk di bawah perintah Nabi Muhammad, dan dari tabuk, beliau dihantar ke Daumat al-Jandal di mana beliau berjaya menawan Raja Arab Daumat al-Jandal dan dengan itu memaksa Daumat al-Jandal menyerah kalah.

Pada tahun 631 M beliau bersama-sama Nabi Muhammad semasa baginda menunaikan haji terakhir. Dikatakan Khalid dapat mengumpul beberapa helai rambut Nabi Muhammad pada ibadat haji tersebut dan dikatakan Khalid percaya bahawa rambut Rasulullah (SAW) tersebut membawa berkat dan dapat membantunya dalam pertempuran.

No comments:

Post a Comment